Saturday, 26 January 2008

ideologi pemikiran syakib arsalan

PENDAHULUAN



Al-Amier Syakib Arsalan adalah salah seorang daripada alih politik yang terkenal, beliau merupakan seorang ahli intelektual Islam yang terkenal dan merupakan mujahid Islam terulung yang dapat membela kepentingan Islam dengan menggunakan akal fikiran beliau yang cerdik, beliau juga merupakan pengarang atau penulis yang bijaksana serta sanggup mempertahankan Islam dengan menggunakan penanya yang tajam dalam surat khabar berbahasa Arab yang di terbitkan di Mesir dan lain-lain. Beliau dilahirkan pada tahun 1286 H bersamaan 1869 M dan meniggal dunia pada tahun 1366 H bersamaan 1946 M di Bairut, nama penuh beliau ialah Syakib Arsalan, dilahirkan di al-Syuwifat Lubnan, beliau mendapat pendidikan di sekolah al-sultaniyyah di Bairut dan fasih dalam bahasa Arab, Perancis, Turki dan Jerman.[1]

Kitab-kitab karangan beliau penuh dengan kata-kata semangat dan seruan kepada umat Islam supaya mereka sedar daripada kelalaian kemudian bergerak dan bangkit membela serta mempertahankan umat Islam yang ditindas oleh pihak yang memusuhi Islam. Arsalan jugu merupakan salah seorang daripada buangan politik pada zaman pemerintahan Perancis di Mesir, kemudiannya beliau memilih tempat di Geneva sebagai tempat pembuangannya, dalam pada masa yang sama beliau dianggakat oleh pemerintah di Syria sebagai ketua delegasi Syria di Volkenbond.

Kitab karangan beliau yang yang bertajuk لـمـاذا تـأخـر الـمـسـلـمـون ( mengapa kaum muslimin mundur) adalah sebuah kitab yang masyhur dikalangan ulama’, dimana kitab ini banyak membincangkan tentang ideologi pemikiran Arsalan mengenai sebab-sebab kemunduran umat Islam masakini dan sebab-sebab kemajunan umat Islam terdahulu serta tentang kemajuan bangsa Eropah.





2.0 IDEOLOGI PEMIKIRAN SYAKIB ARSALAN

Terdapat beberapa ideologi pemikiran Syakib Arsalan dalam buku beliau yang berjudul Our decline it’s causes and remedies, yang mana ianya banyak membahaskan tentang sebab-sebab kemajuan dan kemunduran umat Islam serta perbandingan antara umat islam pada masa sekarang dengan bangsa Eropah. Terdapat beberapa Ideologi Syakib Arsalan dalam buku beliau antaranya ialah:

Sebab-sebab kemajuan umat Islam terdahulu
Sebab-sebab kemunduran umat Islam hari ini
Sebab-sebab kemajuan bangsa Eropah

2.1 sebab-sebab kemajuan umat Islam terdahulu

Menurut Syakib Arsalan, terdapat beberapa faktor utama yang menyebabkan umat Islam pada masa dahulu maju dalam semua aspek, sama ada dari segi pentadbiran, pemerintahan dan dalam agenda meluaskan kuasa Islam. Ini kerana menurut beliau, umat Islam pada masa dahulu tidak mempunyai perasaan takut dalam menegakkan Islam dan keluar berjuang untuk berjihad dijalan Allah.
Umat Islam pada masa dahulu cukup taat dan patuh kepada agama Islam sedangkan pada masa sebelum datangnya Islam kehidupan mereka begitu teruk dari segi akhlak dan pergaulan sehinggakan mereka dikenali dengan gelaran mesyarakat jahiliyyah, kemudian setelah datangnya Islam mereka berubah kepada kehidupan yang lebih baik, dimana mereka hidup berpandukan ajaran Islam yang sempurna, jika dahulunya mereka hidup dalam keadaan jahliyyah tetapi setelah datangnya sinar Islam mereka hidup dalam corak kehidupan yang bertamadun, contohnya memiliki akhlak yang mulia, bersatu padu dan daripada sikap menyambah berhala kepada pengabdian diri kepada Allah s.w.t.



Setelah lahirnya Islam didalam jiwa umat Islam ini, maka lahirlah sifat berani untuk menegakkan syiar Islam didalam diri umat Islam pada masa dahulu dengan begitu kental sekali, sehinggakan mereka dapat mencipta pelbagai tamadun dalam sejarah Islam yang hanya boleh dibanggakan oleh umat Islam hari ini. Kebaranian umat Islam pada masa dahulu adalah salah satu faktor yang menyebabkan umat Islam pada zaman tersebut maju dari segenap segi, buktinya keberanian umat Islam pada masa dahulu telah melakar sejarah manis buat umat Islam seluruhnya, kejayaan Sultan Muhammad al-Fatih dalam menakluk Kota Konstentinople adalah merupakan satu lakaran sejarah bagi umat Islam, keberanian yang ada dalam diri baginda dan para tenteranya telah menyebabkan Kota agung tersebut jatuh ke tangan umat Islam. Lantaran dari keberanian yang ada dalam diri mereka jugalah, Islam dapat tersebar dengan meluas dalam masa yang begitu singkat.

Menurut beliau lagi, kemajuan umat Islam pada masa dahulu juga disebabkan oleh sikap mereka yang tidak takut kepada mati dan menganggap mati adalah perkara yang paling indah dalam berjihad dan jika mereka tidak dijemput menjadi tetamu Allah s.w.t sewaktu mereka berjihad, mereka akan merasakan telah mendapat kerugian yang paling besar bagi diri merka dan berharap mereka akan syahid dalam peperangan yang lain. Faktor inilah yang menyebabkan mereka berani dan tidak pernah gentar untuk berhadapan dengan mesuh-musuh Islam, malah sikap yang ada pada mereka juga telah menyebabkan mereka digeruni oleh musuh-musuh Islam dan beroleh kejayaan dalam setiap peperangan serta berjaya meluaskan Empayar Islam.

Mereka menjadikan al-Quran dan as-Sunnah subagai panduan hidup mereka dan sebagai penyuntik semangat kepada mereka dalam mengejar kejayaan, sehinggakan mereka dapat menyebarkan dahwah Islam dengan meluas, mereka meletakkan al-Quran dan as-Sunnah ditangan kanan dan memegang pedang di sebelah kiri, bertujuan untuk melawan musuh-musuh yang memerangi Islam namun umat Islam hari ini tidak lagi mempunyai sikap keberanian yang dimiliki oleh umat terdahulu dan sikap keberanian ini telah ditiru oleh bangsa Eropah dalam mengaut kejayaan dan kemajuan.


2.2 Sebab-sebab kemunduran umat Islam hari ini.

Menurut Shakib Arsalan lagi terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kemunduran umat Islam hari ini. Beliau beranggapan bahawa umat Islam hari ini tidak berani untuk berjuang dan berjihad serta takut kepada mati, mereka tidak mahu berubah dan hanya mengharapkan kepada janji Allah s.w.t semata-mata, menurut beliau juga umat Islam pada hari ini mempunyai sikap yang bodoh dan tidak tahu untuk merebut peluang yang ada serta menggunakan ilmu pengetahuan dengan sebaik-baiknya, umat Islam pada zaman sekarang juga adalah merupakan pengkhianat kepada bangsa, agama dan tanah air mereka sendiri, kerana mereka ini terdorong oleh akhlak yang buruk, mereka tidak mahu untuk membela agama dan menegakkan kebenaran. Selain daripada itu, faktor kepimpinan yang tidak adil dan sikap pemimpin yang buruk juga menyebabkan umat Islam hari ini semakin hari semaik mundur.

Sesungguhnya umat Islam pada hari ini tidak berani tampil kehadapan untuk membela agama, bangsa dan Negara tidak seperti umat sebelum mereka, mereka lebih suka berdiam diri dari sama-sama keluar berjihad kejalan Allah s.w.t dan membantu saudara seagama mereka dari ditindas, mereka juga beranggapan bahawa mereka tidak perlu memiliki senjata yang moden kerana mereka mengharapkan kepada janji Allah s.w.t semata-mata, dengan menggunakan dalil dari al-Quran yang bermaksud “dan adalah bagi kami (Allah) memberi pertolongan kepada orang-orang yang beriman” dengan berpandukan ayat ini, mereka menyalah ertikan maksud pertolongan yang Allah akan berikan, mereka dengan yakinnya berserah kepada pertolongan daripada Allah tanpa membuat sebarang perubahan sedangkan keimanan mereka belum sampai kepada tahap keimanan yang sebenar, menurut Syakib Arsalan mereka ini tidak sepatutnya mendapat pertolongan daripada Allah, kerana mereka sendiri tidak mahu membuat perubahan dalam diri mereka, sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud “sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa-apa yang ada pada sesuatu kaum itu,melainkan mereka sendiri yang mengubahnya”.

Beliau juga berpandagan bahawa, kemunduran umat Islam hari ini adalah berpunca daripada sikap mereka sendiri yang bodoh dan tidak memiliki ilmu pengetahuan dengan sebaiknya serta tidak tahu memanfaatkan ilmu yang mereka miliki dimana mereka ini tidak tahu untuk menilai antara kebaikkan dan keburukkan, disebabkan oleh sikap umat Islam hari ini yang bodoh dan kekurangan Ilmu pengetahuan maka lahirlah akhlak yang tidak mantap dikalangan mereka yang telah menyebabkan kehancuran akhlak dan sekaligus telah meletak umat Islam hari ini berada dalam kemunduran berdanding dengan bangsa-bangsa yang terdahulu. Mereka tidak lagi mempunyai nilai-nilai murni seperti yang dimiliki oleh nenek moyang mereka dahulu sedangkan akhlak yang baik adalah salah satu sebab untuk memajukan bangsa dan generasi yang seterusnya dan ianya lebih penting daripada ilmu pengetahuan.

Selain daripada beberapa faktor diatas beliau juga ada mengatakan bahawa , umat Islam hari ini adalah pengkhianat kepada agama, bangsa dan tanah air mereka sendiri, menurut beliau tampok kepimpinan negara yang diterajui oleh pemimpin yang tidak adil adalah penyebab kepada kemunduran umat Islam, mereka ini dianggap sebagai pengkhianat kepada agama mereka sendiri kerana tidak sanggup membela agama dan sanggup pula bersekongkol dengan bangsa asing demi untuk mendapatkan kesenagan bagi memenuhi kepentingan mereka sahaja tanpa memikirkan kepntingan umat Islam yang selainnya, sikap ini juga terdorong oleh kehancuran akhlak dan disebabkan kurangnya kemantapan iman dalam diri mereka, yang mana telah mendorong mereka ini menjadi seorang yang penakut dan tidak berani untuk berjihad membela agama, yang mereka tahu hanyalah patuh kepada bangsa asing yang disangka kuat dari mereka.

Mereka ini juga merupakan golongan yang jumud iaitu golongan yang beku dari segi pemikiran, menurut Syakib Arsalan golongan ini merupakan golongan yang membawa kepada kemunduran umat Islam kerana mereka ini telah membuka jalan bagi musuh-musuh Islam untuk memerangi kemajuan Islam dan meletakkan Islam jauh terkebelakang, golongan ini hanya menjadikan Islam sebagai agama untuk menuju akhirat semata-mata tanpa mengurauskan kepentingan umat didunia, sedangkan agama Islam adalah agama yang seimbang diantara dunia dan akhirat dan telah menyebabkan Islam lebih istimewa dari agama-agama lain.

Golongan ini juga merupakan golongan yang hanya bergantung harap kepada ketentuan Allah semata-mata tanpa mengunakan akal mereka sebagai alat untuk memajukan umat Islam, dengan sikap mereka ini jugalah telah menyebabakan umat Islam menjadi umat yang malas untuk berusaha sehinggakan bangsa Eropah mentafsiarkan Islam itu sebagai agama yang memimpin umatnya supaya berserah diri semata-mata kepada Allah s.w.t tanpa berusaha, bekerja dan berjuang kerana segala sesuatu yang akan terjadi itu sudah tentu akan terjadi sama ada diusahakan oleh makhluk ataupun tidak diusahakan oleh mereka. Sedangkan tanggapan mereka ini adalah bertentangan dengan nas-nas yang terdapat dalam al-Quran sebaimana firman Allah s.w.t dalam surah an-Nahl yang bermaksud “barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik dari lekaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada yang mereka kerjkan” ayat ini jelas menolak dakwaan dan tanggapan bangsa Eropah yang mengatakan Islam adalah agama yang membawa umatnya berserah semata-mata kepada Allah s.w.t.

Bagi Syakib Arsalan golongan jumud adalah golongan yang menjadi fitnah kepada agama dan merupakan alat yang digunakan oleh para musuh-musuh Islam sebagai hujah untuk menjantuhkan umat Islam dari sejarah keagungan mereka. Sehinggakan bangsa Eropah berani menghina Islam dengan pelbagai penghinaan dan mengatakan bahawa Islam adalah satu agama yang tidak sesuai dan tidak selaras dengan kehendak masa, kemajuan dan peredaran zaman, mereka juga menganggap agama Islam adalah agama yang menjadi penghalang kepada kemajuan. Padahal sesungguhnya golongan yang bersikap jumud itulah golongan yang tidak sesuai dengan peredaran semasa dan merupakan penghalang kepada kemajuan bagi umat Islam bukannya agama Islam yang membawa kepada kemunduran kerana agama Islam itu merupakan agama yang syumul sesuai diamalkan untuk setiap zaman.

Selain daripada golongan yang jumud terdapat juga golongan yang zaahid iaitu golongan yang menganggap bahawa sesiapa yang menginginkan kemajuan dan hendak mencapai kemajuan dalam urusan dunia maka mereka perlu meninggalkan urusan agama mereka dengan kata lainnya memisahkan antara urusan agama dengan urusan keduniaan. Sedangkan pada hakikat yang sebenarnya mereka lupa bahawa kemenangan bangsa Eropah dan bangsa Jepun adalah berpunca dari kepercayaan mereka malah mereka menjadikan agama mereka sebagai penyuntik semangat kepada mereka untuk menang dalam peperangan dan tidak pernah menganggap agama mereka kolot dan tidak sesuai diamalkan dalam memajukan bangsa mereka.

Sesungguhnya setiap bangsa pada umumnya berpegang teguh kepada pegangan agama mereka dan adat istiadat yang ditinggalkan oleh nenek moyang mereka, mereka juga tidak pernah mencela dan menghina agama mereka dengan mengatakan bahawa agama mereka kolot dan kuno melainkan umat Islam sendiri yang sanggaup menghina agama mereka yang begitu agung di sisi Allah s.w.t mereka ini adalah umat Islam yang keislamannya hanya pada kulit sahaja tetepi hati mereka lebih buruk dari non-muslim, mereka inilah umat Islam yang memusnahkan agama mereka sendiri, apabila mereka diseru kepada kebaikkan maka mereka akan akan menjawab “ mengapa kamu menginginkan kemajuan, padahal kamu semua berpegang tuguh kepada peraturan-peratuan agama yang telah luput di zaman dan tidak sesuai lagi digunapakai pada zaman yang moden ini, dan jika kamu semua menginginkan kemajuan kamu harus membuang semua peratuaran agama yang kolot itu dari dalam diri kamu”.

Sedangkan bangsa lain yang maju tidak pernah membuang agama mereka, begitu juga dengan umat Islam pada masa dahulu, mereka maju dan dapat menakluki dunia tetapi mereka tidak sesekali membuang dan memisahkan urusan agama mereka dalam mengejar kemajuan yang mereka rasai melainkan golongan zaahid yang lahir dalam zaman yang moden tetapi memiliki pemikiran yang kolot, seharusnya mereka ini memahami dan mempelajari al-Quran dan as-Sunnah dengan mendalam sebelum mengeluarkan buah fikiran mereka yang boleh merosakkan umat Islam.

2.3 Sebab-sebab kemajuan bangsa Eropah

Berdasarkan pendapat dan pandangan dari Syakib Arsalan terdapat beberapa faktor yang menyebabkan bangsa Eropah maju dalam setiap segi berbanding dengan umat Islam hari ini antaranya bangsa Eropah sanggup berkorban dan berani untuk melawan tentera Islam ini kerana, umat Islam dipandang lemah dan tidak lagi segah umat Islam yang terdahulu. Kemajuan bangsa Eropah juga disebabkan oleh prinsip bangsa Eropah yang tidak takut kepada mati dan menganggap mati adalah satu perkara yang biasa.

Selain daripada itu kemajuan yang dirasai oleh bangsa Eropah juga berpunca bari sikap umat Islam sendiri, mereka tidak sanggup berkorban untuk menegakkan Islam tidak seperti umat Islam pada masa dahulu, menurut Syakib Arsalan lagi, umat Islam pada hari ini tidak mempedulikan apa yang terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah serta hanya bergantung harap semata-mata kepada Allah s.w.t, selain itu faktor keimanan umat Islam pada hari ini juga begitu lemah dalam memahami Islam serta takut untuk memperjuangkan Islam, lantaran daripada itu ia mengundang kepada kemunduran bagi umat Islam dalam Era ini. Mereka juga beranggapan bahawa menentang bangsa Eropah adalah satu pekerjaan yang sia-sia sahaja kerana bangsa Eropah lebih kuat dan memilik kepakaran yang canggih yang dapat mengancurkan umat Islam dengan sekelip mata sahaja.

Bangsa Eropah maju kerana mereka sanggup berkorban nyawa dan harta benda demi untuk memastikan tentera-tentera mereka menang dalam melawan musuh mereka, mereka sanggup menyalurkan berjuta-jata wang dan berduyun-duyun mengangkat senjata melawan musuh mereka tanpa ada rasa takut sebagaimana yang berlaku sewaktu tercetusnya perang dunia. Sesungguhnya keberanian yang dimiliki oleh umat Islam yang terdahulu telah dimiliki oleh bangsa Eropah seharusnya umat Islam hari ini mencontohi bangsa Eropah dalam menyemai sikap keberanian dalam diri mereka kerana sikap yang ada pada bangsa Eropah merupakan keberanian yang di tuntut dalam al-Quran.



Menurut Syakib Arsalan lagi, umat Islam hari ini menginginkan kemerdekaan tetapi tidak mahu untuk berkorban dan tidak bercita-cita untuk syahid di jalan Allah s.w.t serta tidak suka untuk membelanjakan harta benda mereka kepada perkara-perkara kebaikkan, mereka hanya tahu berdoa kepada Allah sahaja agar diberi pertolongan tanpa berusaha untuk kearah itu. Mungkin umat Islam hari ini beranggapan bahawa mereka tidak standing dengan bangsa Eropah dari segi bilangan tentera, harta benda dan sebagainya kerana mereka kini hidup dalam kemiskinan, sesungguhnya perkara ini tidaklah menjadi satu masalah yang besar bagi umat Islam jika semua umat Islam bergabung tenaga untuk memerangi musuh-musuh Islam dan membela bumi Islam yang ditindas oleh bangsa Eropah, jika keimanan dalam diri mereka begitu kental dan mempunyai matlamat dan tujuan kearah kebaikkan maka nescaya Allah s.w.t akan membantu mereka dalam memerangi musuh-musuh Islam.

Bilangan tentera yang ramai bukanlah satu alat pengukur menang atau kalah sesuatu pasukan itu, kerana sejarah telah membuktikan bahawa sewaktu tercetusnya peperangan Badar umat Islam pada waktu itu adalah amat sedikit jika dibandingkan dengan tentera musuh tetapi kemenangan berpihak kepada tentera Islam, ini kerana keimanan dan semangat juang yang ada dalam diri tentera Islam pada waktu tersebut begitu kental sehinggakan mereka mendapat pertolongan daripada Allah dan mendapat kemenangan serta menggerunkan tentera musuh Islam.

Kualiti sesebuah pasukan juga memainkan peranan yang penting dalam sesebuah pasukan untuk meraih kejayaan yang luar biasa kerana pasukan yang tidak berkualiti hanya dapat menghasilkan satu pencapaian yang tidak standing dengan pasukan yang berkualiti, contohnya tentera Islam dalam peperangan Uhud mereka ini memiliki kelengkapan senjata dan berada dalam strategi yang begitu hebat tetapi akhirnya mereka mendapat kekalahan kerana sikap mereka sendiri yang ingkar terhadap arahan Rasulullah. Oleh itu, jika umat Islam hari ini memiliki sikap umat terdahulu sudah pasti panji-panji Islam akan Agung kembali.

3.0 Kesimpulan

Sesungguhnya kemunduran umat Islam hari ini adalah berpunca dari sikap buruk mereka sendiri yang tidak mahu menerima pembaharuan. Mereka juga ada yang menolak serta menerima ideologi dari barat tanpa mengasingkan antara yang baik dan yang buruk, namun menurut Syakib Arsalan umat Islam hari ini mula ada perubahan dan bangkit untuk menujuk kepada kemajuan yang dimiliki oleh umat Islam terdahulu, dan memperjuangka hak mereka, kemungkinan disebabkan oleh lahirnya ramai para cendikiawan yang dapat membezakan antara kebenaran dan kejahilan.

Beliau beranggapan bahawa umat Islam hari ini akan bangkit juga menuju kepada kemajuan dan menandingi bangsa-bangsa yang meruntuhkan tamadun mereka dahulu, beliau percaya jika umat Islam hari ini bersungguh-sungguh berjuang, baik dari segi harta benda mauhupun dengan jiwa dan selainnya seperti apa yang telah diperintahka oleh Allah s.w.t kemungkinan besar umat Islam akan dapat mencapai kemajuan sebagaimana yang telah dicapai oleh bangsa Eropah, Amerika dan jepun dalam ilmu pengetahuan tentang kemajuan bagi segenap bidang, kita juga hendaklah mengerti dengan sebenar-benarnya bahawa kita akan mencapai kemajuan jika diserai dengan amal perbuantan dan mempunyai sikap rajin berusaha serta terus maju kehadapan dengan berpandukan kitab al-Quran.











RUJUKAN

Ensaiklopidia dunia: 2005, jilid kedua: Kuala Lumpur.

Ensaiklopidia Islam:1998, jilid kedua: Kuala Lumpur.

Syakib Arsalan: 1954, Our decline it’s couses and remedies, Thingkers Library Snd Bhd: Johor Bahru.

Syakib Arsalan: 1954, Mengapa kaum mulimin mundur, Thingkers Library Snd Bhd: Johor Bahru.


[1] Ensaiklopidia dunia: 2005, jilid ke dua.

No comments: